pendapat tentang pemakaian purdhah...........
Assalamualaikum sahabat-sahabat. Sekali lagi ana menulis. Hanya untuk pengenalan dan perkongsian bersama.
Pertama sekali, ana nak beritahu la sikit tentang pandangan ulama’ berkenaan dengan niqab ni. Tidak semua orang mengetahui tentang ini. Ada yang main taram pakai tanpa tahu hukum dan khilaf ulama’. Tapi yang ana perhatikan, pemakaian purdah ini semakin diambil cakna oleh muslimat Malaysia. Penangan Ayat-Ayat Cinta kah? InsyaALLAH tidak kan sahabat-sahabat. Ana tahu ada yang ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam dan tekad yang kuat untuk meneruskan sunnah yang kian lapuk ini. Pemakaian purdah oleh wanita Islam merupakan masalah khilafiyah iaitu perkara yang menjadi perselisihan pendapat dan pertikaian di kalangan ulama. Ulama’ berselisih pendapat sejak dulu hingga sekarang. Puncanya adalah kerana dalil-dalil berkaitan purdah ini tidak ada dalil yang jelas dan nyata. Para ulama’ menyatakan pendirian mereka berdasarkan pemahaman dan ijtihad masing-masing dalam memahami nas-nas tersebut.
Jadi, berlakulah perselisihan tersebut dan puncanya adalah dari penafsiran ayat dari surah an nur iaitu:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
(Surah al-Nur: Ayat 31).
Berdasarkan dalil dari ayat 31 surah an-nur ini, sebilangan ulama’ berpendapat muka dan kedua tapak tangan adalah aurat dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mestilah memakai purdah. Sebilangan lagi berpendapat muka dan tapak tangan bukan aurat dan memakai purdah adalah bukan satu perkara yang wajib. Di bawah ini disertakan pandangan mazhab-mazhab secara ringkas berkenaan aurat di hadapan bukan mahram. Di sini juga tidak dinyatakan munaqasyah dalil-dalil bagi tidak memanjangkan perbahasan.
Jumhur Ulama:
Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.
Mazhab Hanafi:
Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.
Mazhab Maliki:
Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.
Mazhab Shafie:
Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.
Mazhab Hanbali:
Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.
Kesimpulan: Pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).





